SHAH ALAM: Tiada kematian berpunca daripada jangkitan influenza dilaporkan di Selangor sejak 2024 hingga Minggu Epidemiologi (ME) 43/2025 yang berakhir pada 25 Oktober lalu.
Bagaimanapun, dalam tempoh sama, Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) melaporkan lebih 3,000 kes jangkitan virus selsema itu dalam tempoh sama melibatkan 268 kluster.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaludin berkata, 70 peratus daripada kluster tersebut membabitkan jangkitan di peringkat institusi khususnya berkaitan pendidikan.
“Jadi, JKNS menerima beberapa laporan kematian berkaitan kes influenza sepanjang tempoh lonjakan kes baru-baru ini. Bagi kes sebegini, sebenarnya penentuan punca kematian memerlukan pelaksanaan bedah siasat.
“Untuk rekod, dari 2024 sehingga ME43/2025, tiada kematian yang disahkan berpunca daripada influenza kerana kita tidak menjalankannya kecuali ada keluarga yang meminta berbuat demikian,” katanya katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chua Wei Kiat (PH-Rawang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau menambah, influenza bukanlah penyakit yang wajib dinotifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Namun, Jamaliah yang juga ADUN Bandar Utama memberitahu, kerajaan negeri mengambil inisiatif melaksanakan program imunisasi influenza dengan pemberian vaksin kepada murid berusia lapan tahun ke bawah di Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Klang.
Sebelum itu, beliau ketika menjawab pertanyaan ADUN, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi (PH-Seri Serdang) berkenaan kadar jangkitan denggi di Selangor, memaklumkan jumlahnya menurun iaitu sebanyak 20,399 kes dilaporkan sehingga ME45 pada Oktober lalu.
Trend itu menunjukkan demikian berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 56,400 kes lebih tinggi dengan melibatkan 14 kes kematian berbanding enam kematian, tahun ini.
“Peruntukan tahunan bagi kerja pengawalan dan pencegahan denggi di Selangor pada tahun ini adalah sebanyak RM4 juta, yang mana saya kira di negeri-negeri lain jarang mempunyai peruntukan seperti ini.
“Kerana kawalan denggi di bawah JKNS, ia di bawah agensi Persekutuan, namun di Selangor kita memperuntukkan RM4 juta, sebahagian besar RM2.7 juta disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan bagi program pengawalan dan pencegahan di peringkat komuniti,” ujarnya. – UTUSAN










