SHAH ALAM: Acara snuker perlu dianggap sebagai sebahagian daripada aktiviti sukan bermanfaat berbanding kegiatan maksiat seperti yang didakwa oleh pihak yang berfikiran sedemikian.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, ia merupakan acara sukan yang boleh menjadi sebahagian daripada pelancongan di negeri ini.
Justeru, beliau mahu tanggapan sedemikian dihentikan apabila Selangor bakal menjadi tuan rumah kepada penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII tahun hadapan.
“Kadang-kadang snuker pun dia kata maksiat. Saya pun pening. Snuker itu kan sukan, ada juara dunia main snuker. Ada orang kata main snuker itu maksiat. Itu pun dikategorikan sebagai maksiat.
“Memang tahun depan Selangor akan menjadi tuan rumah SUKMA, itu acara yang sangat penting kerana melibatkan beribu atlet, peminat dan sebagainya semua akan datang ke Selangor.
“Jadi, kita bukan sahaja hendak menjadikannya sebagai sebahagian daripada pelancongan sukan, tetapi wajib berbuat demikian,” katanya dalam sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu menjawab soalan tambahan daripada ADUN, Abbas Salimmi Che Adzmi@azmi (PH-Seri Serdan) berhubung sumbangan penganjuran SUKMA tahun depan kepada sektor pelancongan di Selangor.
Beliau berkata, penganjuran tersebut boleh diambil kesempatan untuk menjadikannya sebagai salah satu daripada aktiviti pelancongan sukan.
“Sukan sekarang bukan sekadar riadah, ia sudah menjadi industri dan boleh buat sport-tourism,” katanya.
Jumaat lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2026 memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menampung sebahagian penganjuran SUKMA XXII. – UTUSAN










