200,000 penjawat awam mula BDR esok

200,000 penjawat awam mula BDR esok

BDR
SHAMSUL Azri Abu Bakar melawat salah satu reruai pameran pada Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dasar Bekerja Dari Rumah yang akan dilaksanakan mulai esok akan melibatkan lebih 200,000 penjawat awam di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata,  bagaimanapun ia tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan daripada ketua-ketua jabatan.

“Tetapi bukan semua dapat, kita akan tengok. Ia ada beberapa faktor-faktor yang kita akan pertimbangkan sebab kelulusan untuk BDR adalah di bawah ketua-ketua jabatan,” katanya ketika ditemui pada Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, warga Kementerian Dalam Negeri diingatkan supaya tidak memuat naik gambar atau kandungan di media sosial yang boleh menimbulkan persepsi negatif sepanjang tempoh bekerja dari rumah (BDR) bermula Rabu ini.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Awang Alik Jeman berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap warga KDN yang dikesan berbuat demikian.

Beliau berkata, tindakan tegas itu akan diambil kerana menyalahgunakan kemudahan BDR sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Bagaimanapun Shamsul Azri mengingatkan, penyampaian perkhidmatan awam ketika pelaksanaan BDR diharapkan tidak terjejas atau menangguh serta melambatkan program-program yang sedia terjadual.

“Yang diminta adalah melakukan semakan semula program agar ia bersesuaian dengan dasar penjimatan sekarang. Bukannya membatalkan atau menangguhkan program sekiranya ia benar-benar perlu.

“Pelaksanaan BDR sebagai langkah kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga. Maka saya minta semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas. Kita mahu BDR yang produktif dengan output dan outcome pekerjaan sama seperti biasa atau mungkin lebih baik,” ujarnya.

Pada 1 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan dasar BDR mulai esok selepas ia diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Pelaksanaan tersebut membabitkan kementerian dan agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN