Penjawat awam diseru perkukuh inovasi, keluar dari zon selesa

Penjawat awam diseru perkukuh inovasi, keluar dari zon selesa

Inovasi penjawat awam
SHAMZUL Azri Abu Bakar berucap pada perasmian Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Petugas dalam perkhidmatan awam diseru supaya tidak terus berada dalam zon selesa, sebaliknya memperkukuh inovasi dan membuang birokrasi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian.

Sikap tersebut wajar diamalkan demi memastikan daya saing negara terus diperkasa dan kesejetahteraan rakyat dapat dipertingkatkan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kedudukan negara kini berada di tangga ke 23 berbanding 69 dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2025, sementara Indeks Inovasi Global 2025 di posisi ke-34 daripada 139 negara.

“Pencapaian ini membuktikan asas institusi kita adalah kukuh. Walau bagaimanapun, ia juga membawa isyarat bahawa kita tidak boleh kekal dalam zon selesa.

“Apatah lagi dalam landskap dunia yang tidak menentu. Sebagai sebuah negara yang terbuka, Malaysia tidak terlepas daripada tempias krisis global,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di sini, hari ini.

Malah, beliau menegaskan keupayaan untuk berinovasi bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya keperluan yang kritikal supaya perkhidmatan awam dapat bergerak lebih tangkas.

“Penjawat awam perlu adaptif dan berpandangan jauh dalam merangka penyelesaian yang bukan sahaja bersifat responsif, malah berupaya melakukan pencegahan awal dan berdaya tahan.

“Sudah tiba masanya untuk kita membangunkan model inovasi yang berakar pada realiti Malaysia. Kita ada asas inovasi domestik yang begitu kukuh,” tegasnya.

Shamsul Azri turut menyatakan, inovasi bukanlah sekadar berdaya cipta dalam teknologi baharu, tetapi juga tentang memperbaharui sistem, memperbaiki proses serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ia juga bukan semata-mata menghasilkan projek atau memenangi anugerah, tetapi berkait rapat dengan kesannya kepada kehidupan rakyat, bagaimana ia memudahkan urusan, mempercepat penyampaian dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. Itulah nilai sebenar inovasi dalam sektor awam.

“Sebagai contoh, di bawah pasukan petugas khas reformasi agensi (STAR) yang saya pimpin bersama-sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan rakan-rakan Ketua Setiausaha (KSU), kita berjaya melaksanakan pelbagai inovasi dalam cara kerja sama ada dalam konteks pelaksanaan projek atau pun dalam pengurusan prestasi dan sumber manusia.

“Antaranya ialah mempercepat proses pendaftaran maklumat bagi bantuan mangsa bencana dan permohonan e-Kasih dari satu jam kepada 5 minit melalui sistem e-penghulu, reformasi urusan permit pembinaan di Majlis Perbandaran Kulim, Kedah dan Majlis Perbandaran Kulai. Johor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN