PETALING JAYA: Golongan muda perlu diberi ruang lebih besar dalam kepemimpinan negara kerana mereka membawa semangat baharu serta keberanian untuk melakukan perubahan.
Calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Nabila Norsahar berkata, kemampuan memimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya terletak pada nilai, integriti dan keupayaan seseorang berkhidmat kepada rakyat.
“Calon muda bukan sahaja boleh, malah layak memimpin. Dunia hari ini bergerak pantas dengan cabaran baharu yang memerlukan pemikiran segar, keberanian mencuba pendekatan berbeza serta kefahaman mendalam terhadap teknologi dan ekonomi digital,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nabila, 30, diumumkan sebagai calon PN di DUN Darau semasa sesi penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam.
DUN tersebut menyaksikan persaingan enam penjuru dengan penyandangnya, Azhar Matusin dari Warisan kekal bertanding mempertahankan kerusi itu.
Beliau berkata, generasi muda tidak datang untuk menolak pengalaman pemimpin lama, sebaliknya mahu menggabungkan tenaga baharu dengan kebijaksanaan yang sedia ada bagi menghasilkan kepemimpinan yang lebih efektif.
“Kami mahu membawa politik yang lebih bersih, dasar yang lebih telus dan kepemimpinan yang mendengar suara rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya tetapi pada setiap masa,” katanya. – UTUSAN










