KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul masih menunggu pemakluman rasmi berhubung status 17 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk berkenaan kemungkinan menyertai parti politik lain.
Katanya, setakat ini tiada sebarang keputusan boleh diambil memandangkan masih belum menerima sebarang pemakluman bertulis daripada pihak berkaitan.
“Kecuali kita terima hitam dan putih, barulah kita akan umumkan. Jadi, apa pun, saya tunggu.
“Selagi dan melainkan terima sesuatu, tiada banyak yang saya boleh buat sekarang. Jadi, tunggu sahaja. Mungkin minggu depan, kita masih ada dua hari lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, di sini hari ini.
Pada Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan kedudukan 16 ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat yang didakwa bakal menyertai parti politik lain bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin belum dapat diputuskan. – UTUSAN










