KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak gesaan untuk meletakkan jawatan berhubung keputusan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS).
Katanya, tuntutan berulang itu sudah terlalu kerap didengar sehingga membuatkan beliau berasa ‘penat’.
“Ini bukan soal menyerah, soal khianat, soal gadai, soal penjajahan baru. Nak suruh turun sekali lagi pula? Berapa kali nak suruh turun? Sudahlah,” katanya di sidang Dewan Rakyat, semalam.
Walaupun Anwar tidak menyebut individu itu secara khusus, kenyataan itu dibuat sehari selepas bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menuntut beliau dan Kabinet meletakkan jawatan.
Semalam, Dr. Mahathir mendakwa perjanjian dagangan bersama AS itu menjadi punca kepada kehilangan akses terhadap pasaran lain.
Dakwaan turut diteruskan dengan mengatakan perjanjian perdagangan berkenaan tidak menepati Perlembagaan kerana dikatakan bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anwar menegaskan Malaysia bukan satu-satunya negara yang berunding dengan AS mengenai perjanjian perdagangan itu, malah menolak tanggapan bahawa negara ini menjadi ‘boneka’.
“Mengapa ada rundingan? Sebagai negara dagang kita kena ada rundingan. Negara China dan Eropah sendiri pun ada rundingan. Apakah ia menyebabkan kita serah semua? Tidak betul. Baca dan teliti.
“Apakah ia memenuhi 100 peratus kehendak kita? Tidak, sebab itu kita ada give and take,” katanya.
Jabatan Peguam Negara juga telah memberikan jaminan kedaulatan dan kepentingan nasional Malaysia kekal dilindungi sepenuhnya di bawah perjanjian tersebut. – UTUSAN










