PUTRAJAYA: Selepas tujuh tahun, perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berakhir apabila pembelaan mengakhiri hujahan lisan mereka semalam.
Perbicaraan kes itu boleh dianggap antara kes jenayah paling lama mengambil masa untuk dihabiskan dan tempoh itu mungkin akan bertambah kerana pihak-pihak mempunyai peluang untuk merayu sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Pembelaan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sepatutnya mengakhiri hujah mereka pada Jumaat lalu (31 Oktober) namun memohon ‘masa tambahan’ atas alasan terdapat banyak lagi isu yang perlu dibalas.
Mahkamah sebelum ini menetapkan sembilan hari bermula 21 Oktober lalu untuk hujahan yang mana pihak pembelaan menggunakan lapan hari untuk menyampaikan hujahan dan hujahan semula manakala pendakwaan mengambil masa sehari untuk menjawab hujah lisan itu.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dan dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd. Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Selain Muhammad Shafee, pembelaan turut dianggotai oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Terdahulu sebelum mengakhiri hujahnya, Muhammad Shafee menghujahkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sepatutnya ‘diletakkan di senarai teratas dalam hierarki penjenayah’ membabitkan skandal kewangan 1MDB.
Selain itu, peguam terbabit menyatakan pendakwaan terhadap Najib merupakan pendakwaan terpilih dan bermotifkan politik bagi memusnahkan kariernya sehingga tidak boleh ‘bangkit’ lagi.
Perbicaraan bermula 28 Ogos 2019 dan pendakwaan menutup kes mereka pada hari Sabtu, 30 Mei 2024 yang mana pada ketika itu prosiding telah mengambil masa sebanyak 235 hari dan 50 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.
Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Najib yang mana tarikh pertama beliau memberi keterangan secara bersumpah pada 2 Disember 2024. Pada 6 Mei lalu, pembelaan menutup kes mereka selepas memanggil 26 orang saksi.
Antara saksi yang memberi keterangan ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; adinda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Putri Almarhum Sultan Mahmud; dan bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.
Pada peringkat awal perbicaraan, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Beliau bagaimanapun meninggal dunia di usia 79 tahun pada 29 Januari 2023.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 September 2018 sebelum kes dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober 2018.
Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013. Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).-UTUSAN.










