1,000 rumah kontena untuk mangsa perang Gaza

1,000 rumah kontena untuk mangsa perang Gaza

ZAKARIA Abdul Latif menunjukkan contoh rumah kabin yang siap ditempah di China dan menunggu masa dibawa masuk ke Gaza, Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Pertubuhan Pencinta Muslim Sedunia (MCG) kini melaksanakan projek pembinaan bandar pasang siap di Gaza Strip menggunakan teknologi modular dan kabin kontena bagi menempatkan mangsa perang yang kehilangan tempat tinggal di kawasan tersebut.

Pengerusi MCG, Zakaria Abdul Latif berkata, inisiatif Bandar Hijau Bersepadu itu merupakan konsep pembangunan jangka panjang melibatkan pembinaan 1,000 unit rumah kontena bersama kemudahan masjid, sekolah dan pusat kesihatan.

Katanya, projek berskala besar itu menampilkan rumah perlindungan berbentuk kabin kontena bersaiz 40 kaki panjang dan 10 kaki lebar, lengkap dengan bilik tidur, ruang dapur dan tandas.

“Reka bentuknya turut boleh diubah suai mengikut saiz keluarga, termasuk versi berbentuk L-shape bagi menempatkan dua hingga tiga bilik.

“Elemen pasang siap yang digunakan membolehkan struktur itu dibina dengan pantas, cekap dan tahan lasak di kawasan konflik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri Majlis Sambutan Warga Emas Sedunia 2025 di Dewan Imam Perang Teh di sini.

Zakaria berkata, rumah pasang siap itu dibina dengan struktur kukuh tetapi mudah dipindahkan jika kawasan berisiko terjejas akibat serangan, selain menjimatkan masa, kos dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Gaza sendiri.

“Teknik pembinaan modular itu bukan sahaja memendekkan masa, malah memudahkan penyelenggaraan sekiranya berlaku kerosakan akibat serangan. Kelebihan sistem ini, satu bahagian rosak boleh diganti tanpa menjejaskan struktur keseluruhan.

“MCG memilih pendekatan tersebut kerana lebih praktikal berbanding pembinaan flat atau bangunan kekal yang berisiko musnah sepenuhnya apabila diserang. Kalau flat dibom, semuanya ranap. Tapi rumah kontena boleh diasingkan, satu bahagian rosak, yang lain masih boleh digunakan atau dipindahkan,” katanya.

Menurutnya, kos bagi setiap unit kabin dianggarkan antara RM25,000 hingga RM45,000 bergantung pada saiz dan kemudahan.

“Negara seperti Indonesia, Qatar dan beberapa negara Asia Barat turut menaja sebahagian daripada 1,000 unit pertama yang bakal membentuk perkampungan moden berkonsep hijau. Selain rumah kediaman, MCG turut mempelopori pembinaan masjid modular berharga sekitar RM250,000 setiap satu yang mampu menampung sehingga 600 jemaah,” katanya.

Beliau menjelaskan, kontena tersebut kini sudah dihantar ke Mesir melalui sempadan Rafah, menunggu pelepasan masuk ke wilayah Gaza untuk dipasang oleh tenaga kerja tempatan.

“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, MCG turut mengadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Mesir dan Semenanjung Gaza, Palestin bagi memudahkan urusan kemasukan serta penyelarasan logistik di lapangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×