JASIN: Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyeru ahli keluarga atau penjaga anak-anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 mendaftar bagi memudahkan penyaluran bantuan.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini hanya 1,000 mendaftar sebagai penerima bantuan kerana majoriti rakyat tidak menyedari peranan YKM untuk membantu anak-anak kepada korban pandemik.
Beliau berkata, sehingga September tahun ini, lebih RM3 juta disalurkan merangkumi Bantuan Kasih, Bantuan Perayaan dan Bantuan Menara Gading.
“YKM ditubuhkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan tempat bergantung akibat Covid-19. YKM akan membantu anak-anak ini dalam pendidikan sehingga mereka tamat pengajian.
“Keutamaan kepada anak-anak yang bersekolah dan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi untuk kita bantu mereka meringankan beban yang ditanggung.
“Saya minta wakil-wakil rakyat di seluruh negara dapat membantu mendaftar anak-anak yatim yang dikenal pati kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 agar segera mendaftar dengan YKM,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Deepavali di Taman Merlimau Utara di sini, hari ini.
Beliau menyampaikan Bantuan Kasih RM250 sebulan kepada S. Mittra, 16, yang kehilangan bapanya akibat Covid-19 pada 27 Februari 2022.
Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kepada S. Vigneswari di Taman Bukit Melaka, Bukit Beruang yang merupakan penerima baharu di Melaka.
Beliau berkata, bantuan bulanan yang diberikan kepada remaja berusia bawah 16 tahun adalah sebanyak RM200 manakala 16 tahun ke atas pula mendapat RM250.- UTUSAN










