SHAH ALAM: Yayasan Management and Science University (MSU) menyerahkan ‘seed grant’ bernilai RM10 juta bagi menyokong penyelidikan, latihan dan konsultansi berkaitan kelestarian alam sekitar serta ketahanan iklim bagi tempoh lima tahun hingga 2030.
Sumbangan itu disalurkan kepada MSU Centre for Climate Resilience and Strategy (m-CREST), pusat baharu yang ditubuhkan universiti tersebut bagi memperkukuh peranan akademia dalam menangani cabaran perubahan iklim.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan m-CREST bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh kerjasama antara universiti dan agensi penyelidikan dalam mendepani kesan perubahan iklim yang semakin kompleks.
“Kerajaan mengalu-alukan inisiatif MSU yang bukan sahaja menumpukan kepada pendidikan dan penyelidikan, tetapi turut melaksanakan pendekatan advokasi dan jalinan komuniti secara bersepadu.
“Peranan institusi pengajian tinggi amat penting untuk memperluas inovasi serta penyelidikan saintifik berhubung impak perubahan iklim terhadap sektor utama negara,” katanya pada Majlis Pelancaran m-CREST, hari ini.
Fadillah berkata, kementeriannya melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bersedia menjalin kerjasama strategik bersama m-CREST.
“Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada kajian mitigasi banjir menggunakan metodologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi satelit bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan bencana,” katanya.
Beliau berkata, m-CREST juga bakal menjadi hab penyelidikan strategik yang merangkumi aspek pendidikan, pembangunan modal insan, kempen kesedaran dan advokasi, serta program komuniti berimpak tinggi.
Katanya, lima kluster utama diwujudkan di bawah m-CREST iaitu Green & Biodiversity, Water & Ocean, Energy & Low Carbon, Waste & Circular Economy serta Health, Climate & Community Resilience. – UTUSAN










