PETALING JAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah apabila menjadi universiti awam pertama di negara ini yang memiliki saluran penyiaran digital rasmi menerusi platform MYTV Mana-Mana, hasil kerjasama strategik dengan pihak MYTV Broadcasting Sdn. Bhd.
Naib Canselor USIM, Datuk Prof. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik memperluas penjenamaan universiti berkenaan melalui penyiaran digital yang lebih inklusif dan berimpak tinggi.
“Perjanjian selama setahun ini membolehkan USIMTV beroperasi sebagai saluran rasmi di platform MYTV Mana-Mana, iaitu platform Over-the-Top (OTT) dan Free-to-Air yang boleh diakses melalui televisyen pintar, laman sesawang serta aplikasi mudah alih.
“Langkah ini membolehkan kandungan ilmiah, dakwah dan kemasyarakatan USIM disiarkan kepada khalayak lebih luas, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam penyebaran ilmu, nilai dan budaya Islam progresif,” katanya selepas menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALTEL, Mohamad Helmi Harith, semalam.
Sementara itu, Mohamad Helmi berkata, inisiatif tersebut merupakan pencapaian penting dalam sejarah penyiaran negara apabila USIM menjadi universiti awam pertama memiliki saluran rasmi di aplikasi MYTV Mana-Mana.
Beliau berkata, sinergi antara MYTV sebagai penyedia platform dan USIM sebagai penyedia kandungan mampu memperkukuh pembangunan bakat pelajar serta memperkayakan kandungan tempatan yang berinformasi dan beretika.
“MYTV komited untuk terus memainkan peranan memacu industri penyiaran nasional serta memperluas capaian kandungan pendidikan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, sebagai pengendali berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), MYTV Broadcasting menyediakan platform penyiaran digital kepada pelbagai sektor termasuk pendidikan, hiburan dan komuniti.
USIMTV dijangka mula bersiaran pada 1 Disember 2025, selama 12 jam sehari bermula 6 pagi hingga 6 petang, menampilkan pelbagai program termasuk dokumentari ilmiah, bual bicara pendidikan, forum dakwah, gaya hidup Islam, siri inspirasi pelajar dan alumni serta podcast khas sempena acara universiti. – UTUSAN










