UMNO Perlis fokus khidmat bakti pada rakyat tanpa kira fahaman politik - Utusan Malaysia

UMNO Perlis fokus khidmat bakti pada rakyat tanpa kira fahaman politik

ROZABIL Abd Rahman (tengah) bersama anak muda pada program sembang santai Pemuda UMNO bersama anak-anak muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pauh dan Guar Gajah di Dewan Padang Nyu, di Arau, Perlis semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO di Perlis terus fokus kepada perjuangan memberi khidmat bakti kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik sekali gus memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan harmoni.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, apabila memegang sesuatu jawatan ia menjadikan platform untuk lebih mudah membantu rakyat khususnya di kawasan kampung-kampung.

Kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu, hasil semakan dilakukan, beliau juga mendapati ramai dalam kalangan pengundi muda di negeri ini mempunyai tahap kehidupan yang jauh berbeza dengan golongan di bandar.

“Perkara itu mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti peluang pekerjaan yang terhad dan kekurangan industri terdapat di negeri ini.

“Namun ia bukan satu sekatan kepada pemimpin politik untuk terus memberikan khidmat bakti buat anak-anak muda ini dan masih banyak cara mereka boleh lakukan untuk meningkatkan taraf hidup walaupun berada di negeri kecil.

“Mereka masih boleh bangunkan diri walaupun Perlis tiada industri besar antaranya melalui penguasaan media sosial,” katanya ketika ditemui pada program sembang santai Pemuda UMNO bersama anak-anak muda Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pauh dan Guar Gajah di Dewan Padang Nyu, di sini, semalam.

Sementara itu, Rozabil memberitahu, UMNO Perlis akan melaksanakan siri jelajah di setiap 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dalam usaha meneruskan khidmat bakti buat masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

Beliau telah memaklumkan kepada kepimpinan bahagian-bahagian di negeri ini untuk memulakan gerak kerja itu dengan mengumpulkan data, mendekati dan menyantuni masyarakat di kawasan-kawasan terlibat.

“Dalam masa terdekat ini, UMNO negeri akan memberi penumpuan dalam membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terlebih dahulu sebelum pelaksanaan tersebut mula digerakkan.

“Sebagai sebuah parti politik dengan slogan terus berbakti, janganlah kita berbakti hanya kepada orang UMNO sahaja kerana masih ramai masyarakat kita di kampung-kampung berada dalam kehidulan cukup rendah bukan setakat miskin, tapi fakir.

“Jadi inilah tanggungjawab kita sebagai pemimpin politik dan masyarakat di negeri ini untuk membantu mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN