WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meringankan hukuman bekas ahli Kongres, George Santos yang menjalani hukuman penjara lebih tujuh tahun selepas mengaku bersalah atas tuduhan penipuan dan kecurian identiti.
Ahli politik Republikan dari New York itu dijatuhi hukuman pada April lalu selepas mengaku menipu penderma dan mencuri identiti 11 individu, termasuk ahli keluarga sendiri, untuk membuat sumbangan kepada kempen politiknya.
Santos mula menjalani hukuman di Institusi Koreksional Persekutuan di Fairton, di selatan New Jersey pada 25 Julai dan ditempatkan di kem penjara keselamatan minimum yang mempunyai kurang daripada 50 banduan.
“George Santos boleh dianggap seorang yang ‘nakal’, tetapi terdapat ramai lagi individu seperti itu di negara ini yang tidak perlu menjalani tujuh tahun penjara,” kata Trump dalam hantaran di platform media sosial miliknya.
Trump turut memaklumkan menandatangani dokumen pengurangan hukuman, membebaskan Santos daripada penjara serta-merta.
“Semoga berjaya, George, dan selamat menjalani kehidupan yang baharu,” kata Trump.
Peguam George Santos, Andrew Mancilla, pada Jumaat berkata ‘sangat gembira dengan keputusan itu’, namun menjelaskan tarikh sebenar pembebasan Santos masih belum diketahui.
Jurucakap Biro Penjara AS juga belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada media.
Akaun Santos di platform X, yang kekal aktif sepanjang kira-kira 84 hari beliau berada dalam penjara, turut menyiarkan semula tangkap layar hantaran Trump di Truth Social pada Jumaat.
Sepanjang tempoh di penjara, Santos menulis ruangan tetap dalam akhbar tempatan Long Island, The South Shore Press.
Dalam surat terbaharunya yang diterbitkan pada 13 Oktober, Santos secara terbuka merayu kepada Trump dengan menekankan kesetiaannya terhadap agenda presiden itu dan Parti Republikan.
“Tuan, saya merayu kepada rasa keadilan dan perikemanusiaan anda — nilai yang telah menginspirasi jutaan rakyat Amerika untuk mempercayai anda.
“Saya dengan rendah hati memohon agar anda mempertimbangkan kesakitan dan kesukaran luar biasa di tempat ini, dan memberi saya peluang untuk kembali kepada keluarga, rakan dan komuniti saya,” tulisnya.
Pengurangan hukuman Santos merupakan tindakan pengampunan berprofil tinggi terbaharu oleh Trump terhadap bekas ahli politik Republikan sejak beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu.- AP