Semua murid tahun satu guna kurikulum baharu - Utusan Malaysia

Semua murid tahun satu guna kurikulum baharu

FADHLINA Sidek berbual dengan murid-murid prasekolah pada Majlis Penyerahan Papan Pintar Prasekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, Pulau Pinang. – UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kesemua murid tahun satu sama ada ber­usia enam atau tujuh tahun akan menggunakan kurikulum baharu yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada tahun depan.

Ini bermakna kedua-dua kum­­­pulan murid akan memperoleh silibus pembelajaran dan tahap pengetahuan yang sama, meskipun umur berbeza.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengenalan kurikulum baharu telah bermula tahun ini dengan peringkat prasekolah dan akan disusuli oleh tahun satu dan tingkatan satu.

Beliau berkata, kementerian sedang memperkasa platform untuk memberitahu, berkongsi dan memperkukuhkan hubu­ngan dengan ibu bapa seawal di prasekolah antaranya melalui Pro­gram Akses Komprehensif Tadika (PAKAT).

“Baik mereka yang enam tahun masuk darjah satu ataupun memang darjah satu (tujuh tahun) aliran yang biasa. Semua mereka akan menggunakan ku­rikulum baharu tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Papan Pintar (smartboard) Prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ban­dar Tasek Mutiara di sini, se­malam.

Fadhlina turut menyempurnakan pelepasan satu kontena susu suhu ultra tinggi (UHT) percuma untuk murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bermula tahun depan, mata pelajaran Sejarah pada peringkat sekolah rendah akan ditawarkan kepada murid tahun lima dan enam manakala peringkat menengah pula bermula di tingkatan satu.

Selain itu, katanya, fasa pe­ngenalan kurikulum baharu akan membabitkan tahun satu dan tingkatan satu pada 2027 sebelum diperluas kepada tahun dua dan tingkatan dua pada 2028.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan ditambah menu daripada 20 kepada 33 jenis bermula akhir tahun ini.

Katanya, penambahan itu dibuat kerana mengambil kira aspek keperluan kalori yang seimbang selepas perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Ujarnya, ia juga bertujuan menarik minat dan cita rasa murid melalui tawaran pilihan makanan yang lebih luas dan pelbagai.

“KPM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid sekolah diutamakan termasuk aspek pemakanan sihat yang menjadi faktor penting dalam perkembangan fizikal serta mental mereka.

“Program RMT merupakan inisiatif KPM bagi menyediakan makanan tambahan kepada murid sekolah rendah daripada keluarga B40 yang layak berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022, iaitu isi rumah berpendapatan di bawah RM1,198 atau pendapatan per kapita RM322,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Fadhlina berkata, RMT bertujuan memenuhi sebahagian keperluan kalori harian murid selaras dengan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia oleh KKM.

Katanya, setiap murid akan menerima satu hidangan makanan bermasak dan sekotak susu 200 mililiter (ml) pada setiap hari persekolahan.

“Bagi memastikan RMT dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan, guru bertugas akan melaksanakan pemantauan RMT secara dalam talian setiap hari dan disemak oleh pentadbir sekolah setiap minggu.

“Melalui mekanisme itu, pembekal RMT sentiasa diberikan peringatan supaya kualiti dan kuantiti makanan yang dibekalkan menepati standard ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN