Bursa Malaysia dijangka bergerak 1,745 hingga 1,755 mata

Bursa Malaysia dijangka bergerak 1,745 hingga 1,755 mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam julat sempit antara 1,745 hingga 1,755 mata minggu ini berikutan ketiadaan penunjuk baharu yang signifikan untuk memacu arah pasaran secara jelas. 

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, walaupun sentimen global kekal berhati-hati, indeks penanda aras tempatan berpotensi mengekalkan momentum positif secara sederhana.

Katanya, pergolakan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang masih berterusan tanpa hala tuju yang jelas terus mempengaruhi sentimen pelabur global. 

“Ketidaktentuan ini menyebabkan kebanyakan pasaran serantau bergerak secara berhati-hati, dengan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Dalam perkembangan berkaitan, jelasnya, keputusan indeks antarabangsa MSCI yang mengekalkan pelaburan di Bursa Malaysia memberikan sedikit dorongan positif kepada pasaran tempatan. 

“Langkah ini menyumbang kepada peningkatan aliran masuk pelaburan asing yang dilihat terus bertambah sejak kebelakangan ini,” katanya. 

Selain itu, pengukuhan nilai ringgit yang kini sedang menguji paras RM3.90 berbanding dolar AS minggu ini turut menjadi tumpuan pengurus dana pelaburan. 

“Trend pengukuhan mata wang tempatan berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur asing serta menyokong kestabilan pasaran ekuiti dalam jangka pendek.

“Secara keseluruhannya, walaupun faktor luaran masih membayangi sentimen pasaran, asas domestik yang stabil dijangka membantu Bursa Malaysia kekal dalam zon positif bagi tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, pasaran saham tempatan dijangka mencatatkan kenaikan sederhana minggu ini, dengan indeks utama berpotensi meningkat daripada paras 1,750 mata kepada sekitar 1,760 mata.

Katanya, kenaikan ini disokong oleh aktiviti belian terpilih dalam kalangan pelabur, terutamanya terhadap saham berwajaran tinggi. 

“Namun begitu, momentum kenaikan dijangka terhad berikutan aktiviti pengambilan untung jangka pendek.

“Sebahagian pelabur dilihat masih berhati-hati dan kurang cenderung untuk memegang saham dalam tempoh lebih lama kerana keadaan pasaran yang masih belum stabil. 

“Sentimen yang bercampur-campur ini menyebabkan pergerakan indeks kekal dalam julat sempit,” katanya. 

Beliau berkata, pasaran dijangka akan terus bergerak secara berhati-hati selagi faktor ketidaktentuan luaran dan dalaman belum reda.

“Para pelabur dilihat boleh mula memasuki pasaran bagi mengambil peluang belian susulan keadaan harga saham yang menunjukkan potensi pemulihan. 

“Situasi semasa membuka ruang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada paras yang lebih menarik,” katanya. 

Dalam masa yang sama, Mohd. Rizal berkata, pelabur dinasihatkan untuk beli dan simpan jangka panjang bagi mendapatkan keuntungan yang lebih baik disamping hasil pulangan dividen. 

“Hal ini akan menjadikan pasaran lebih stabil dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN