Selangor henti semua ladang babi, import 100 peratus - Utusan Malaysia

Selangor henti semua ladang babi, import 100 peratus

BABI yang ditinggalkan terbiar dalam kandang di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menghentikan semua aktiviti penternakan babi dan akan mengimport sepenuhnya daging haiwan itu bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam.

Keputusan itu bakal menamatkan semua polemik berkaitan isu penternakan babi oleh mana-mana pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam, selaras de­ngan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.

“Setakat ini, 70 peratus daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi bersumberkan import dari negeri-negeri lain dan selepas keputusan MMKN, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Sultan Sharafuddin tidak memperkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana da­erah di Selangor.

Baginda bertitah, penternakan haiwan tersebut dikenal pasti menyebabkan pencemaran alam­ sekitar, udara yang ketara akibat bau busuk, selain berpotensi men­cemarkan sumber air sungai melalui pe­lepasan sisa kumbahan.

Sultan Sharafuddin bertitah, sebagai con­­­toh cadangan untuk menjalankan penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Se­langor adalah tidak wajar memandangkan kawasan itu me­rupakan penem­patan majoriti orang Melayu dan melibatkan kawasan Felda, sekali gus dijangka menerima bantahan penduduk setempat.

Amirudin berkata, penutupan ladang penternakan yang beroperasi sebelum ini seperti di Tanjong Sepat, Kuala Langat akan dipercepat secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Sejak Januari, kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang yang sedia ada di Tanjong Sepat, menjiwai titah Sultan Selangor yang dizahirkan pada bulan lalu.

“Dalam menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Sela­ngor, melangkah ke hadapan, kerajaan negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di Selangor,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Sultan Sharafuddin bertitah, perancangan berskala besar adalah tidak wajar dengan realiti demografi serta keharmonian ma­syarakat di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN