Tiada lagi diskaun saman, langkah tepat didik pemandu

Tiada lagi diskaun saman, langkah tepat didik pemandu

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan polisi baharu saman trafik yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun hadapan adalah langkah tepat mendidik pemandu agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab di jalan raya.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelaksanaan saman dikeluarkan kepada semua pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan trafik dan jumlah bayaran akan bergantung kepada tempoh masa bayaran dibuat adalah langkah
progresif dalam memperkukuh budaya pemanduan berhemah.

Menurutnya, keputusan kerajaan untuk tidak lagi menawarkan diskaun besar-besaran seperti sebelum ini mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap undang-undang jalan raya.

“Selama ini, tawaran diskaun berkala terhadap saman tertunggak menimbulkan persepsi bahawa pesalah boleh menunggu peluang berikutnya untuk membayar dengan kadar lebih rendah.

“Amalan sebegini melemahkan keberkesanan undang-undang serta usaha kerajaan mewujudkan disiplin dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Lam Thye, pendekatan baharu itu menghantar mesej jelas bahawa undang-undang mesti dipatuhi dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Namun begitu, katanya, dasar tersebut perlu disertai dengan penguatkuasaan yang konsisten, telus dan adil bagi memastikan rakyat yakin terhadap ketepatan setiap saman yang dikeluarkan.

“Pada masa sama, kerajaan dan pihak berkuasa perlu memperkukuh dasar ini dengan pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan, pemantauan rapi terhadap pesalah berulang serta penggunaan teknologi seperti kamera penguatkuasaan automatik,” katanya.

Beliau berkata, matlamat utama dasar baharu itu bukan sekadar untuk meningkatkan hasil kutipan saman, tetapi bagi mengubah sikap dan tabiat pemanduan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

“Jika dilaksanakan dengan baik, polisi baharu ini berpotensi mengurangkan kadar kesalahan trafik, menyelamatkan nyawa dan menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN