KUALA LANGAT: Sesi persekolahan bagi sekurang-kurangnya 4,000 pelajar di lima buah sekolah rendah dan menengah serta sekolah agama dekat Sijangkang serta Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini terjejas akibat ribut semalam.
Sekolah tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Sekolah Rendah Agama (SRA) dan SK Kampung Medan serta SK Jalan Tanjung.
Tinjauan, Utusan Malaysia di kawasan berkenaan mendapati tiada pelajar yang hadir, sebaliknya kelima-lima sekolah tersebut dikawal oleh anggota Rela, polis dan pengawal keselamatan.
Ini kerana, keadaan di sekolah berkenaan, termasuk hampir kesemua kelas dan kemudahan lain seperti kantin serta padang berada dalam keadaan tidak selamat bagi pengoperasian sekolah setiap hari.
Antara kerosakan yang dikesan berlaku kebanyakannya melibatkan kemusnahan bumbung di hampir kesemua blok termasuk kantin selain kerosakan pada perabot sekolah seperti meja serta kerusi pelajar dan guru.
SK Kampung Medan didapati mengalami kerosakan paling teruk kerana selain bumbung yang runtuh, terdapat sisa-sisa runtuhan seperti batu dan kaca bertebaran di tapak dataran, kelas, kantin dan padang.
Seorang pentadbir sebuah sekolah di situ berkata, sesi persekolahan akan ditutup sehingga kerja baik pulih selesai, sementara para pelajar pula akan menjalani pembelajaran secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).
“Berapa lama sekolah ini ditutup, itu saya tidak pasti. Apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) benarkan kami masuk bersekolah, baru kami beroperasi semula,” ujarnya.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, beberapa kawasan sekitar Meru dan Sijangkang dilanda ribut menyebabkan kerosakan teruk pada kediaman, sekolah, premis perniagaan dan kenderaan penduduk.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan segera akan disalur kepada mangsa yang terjejas.
“Kerajaan negeri akan terus memantau dan meneliti keadaan semasa terutama kesan akibat hujan lebat dan ribut yang berlaku dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya. – UTUSAN










