KLANG: Istiadat Perkahwinan Diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz bermula dengan istiadat perarakan diraja dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah, hari ini.
Perarakan Tengku Amir Shah diiringi kerabat, 16 jejawat terdiri daripada lapan pembawa payung, empat pembawa lembing dan tombak bersama paluan pasukan kompang di Jalan Istana sepanjang 650 meter.
Terdahulu, baginda lengkap berpersalinan putih tiba di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, di sini, kira-kira pukul 8.45 pagi dari kediaman rasmi di Istana Mestika, Shah Alam dan beristirahat sebelum perarakan bermula.
Tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati orang ramai mula memenuhi pekarangan Jalan Istana di hadapan galeri dan Padang Laman Seni seawal pukul 6 pagi bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu.
Secara keseluruhan lebih 3,000 pengunjung dari seluruh negeri dan pelbagai latar belakang hadir menyaksikan istiadat tersebut sambil mengibarkan bendera Selangor.
Perarakan baginda tiba di pintu utama Istana Alam Shah kira-kira 20 minit kemudian sebelum menuju ke Masjid Istana Diraja untuk meneruskan Istiadat Pernikahan Diraja yang dikendalikan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir.
Akad nikah Tengku Amir Shah dengan Cik Afzaa Fadini dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 10 pagi tadi dan disusuli dengan istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS).
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan darjah tersebut kepadanya di Balai Tengah, Istana Alam Shah selepas istiadat pernikahan. – UTUSAN