Polis sedang kesan waris mayat ada tatu ‘Joseph’ 

Polis sedang kesan waris mayat ada tatu ‘Joseph’ 

NAAZRON ABDUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris kepada mayat lelaki yang ditemukan di dalam longkang berhampiran Lebuhraya SILK, Sungai Ramal, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pada 2.22 petang berhubung penemuan mayat itu.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bersama Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor digerakkan ke lokasi kejadian. 

“Pemeriksaan mendapati mayat lelaki tidak diketahui bangsa itu berpakaian baju biru dan berseluar pendek tanpa kasut.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan juga tiada menjumpai apa-apa senjata atau barangan peribadi milik simati serta keadaan mayat tidak sempurna dan mulai membusuk,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mendapati pada 19 Oktober lalu kira-kira para 6.03 petang, seorang individu dirakam berjalan kaki di tepi lebuh raya dan memanjat tembok besi sebelum terjatuh ke dalam longkang.

Jelasnya, bedah siasat dijalankan pada 11.30 pagi semalam oleh Pakar Patologi Hospital Kajang mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Identiti si mati masih belum dikenal pasti dan terdapat tatu berbentuk kompas bersama anak panah serta perkataan ‘Joseph’ di lengan kiri. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. 

Dalam pada itu, Naazron meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Borhan Mohamad di talian 014-3289730.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN