Polis India tahan pemilik syarikat sirap batuk punca 17 kanak-kanak maut

Polis India tahan pemilik syarikat sirap batuk punca 17 kanak-kanak maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Polis India menahan pemilik syarikat Sresan Pharmaceutical Manufacturer, pengeluar sirap batuk yang dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak di negeri Madhya Pradesh, menurut pegawai kanan polis.

Kanak-kanak terbabit, semuanya berusia bawah lima tahun, meninggal dunia sepanjang bulan lalu selepas meminum sirap batuk yang mengandungi toksik dietilena glikol dalam kuantiti hampir 500 kali ganda melebihi had dibenarkan.

Kematian itu dikaitkan dengan sirap Coldrif keluaran Sresan Pharma, yang diharamkan di beberapa bahagian India selepas ujian pada 2 Oktober mengesahkan kehadiran bahan kimia berkenaan.

Pemilik syarikat berpangkalan di negeri Tamil Nadu, S. Ranganathan, yang mengeluarkan sirap tersebut, ditahan pada Rabu di Chennai dan akan didakwa di mahkamah, menurut pegawai kanan polis.

Selepas prosiding mahkamah, Ranganathan akan dibawa dari negeri asalnya ke bandar Chhindhwara di Madhya Pradesh, kata Ketua Polis Chhindhwara, Ajay Pandey, kepada Reuters.

Menurut undang-undang, pengeluar ubat di India diwajibkan menguji setiap kelompok bahan mentah dan produk akhir sebelum dipasarkan.

Sejak 2023, eksport sirap batuk memerlukan lapisan ujian tambahan di makmal yang diluluskan kerajaan, selepas lebih 10 kematian kanak-kanak di Gambia, Uzbekistan dan Cameroon dikaitkan dengan sirap keluaran India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan kes terbaharu itu menunjukkan adanya kekurangan kawal selia dalam proses penapisan ubat-ubatan yang dijual di India, sambil memberi amaran sebahagian eksport mungkin dilakukan secara tidak rasmi.

Dikenali sebagai ‘farmasi dunia’, India kini merupakan pengeluar ubat ketiga terbesar di dunia dari segi jumlah pengeluaran, selepas Amerika Syarikat (AS) dan China.

Negara itu membekalkan 40 peratus ubat generik yang digunakan di AS, serta lebih 90 peratus daripada keseluruhan ubat-ubatan di banyak negara Afrika.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×