KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak membenarkan sebarang penganjuran himpunan di kawasan Ampang Park di sini esok berikutan ia dikategorikan sebagai zon merah sempena berlangsungnya Persidangan Kemuncak ASEAN ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsua berkata, cadangan untuk mengadakan perhimpunan di Ampang Park adalah tidak bersesuaian berdasarkan risikan dan analisis PDRM serta agensi pengawasan lain.
Katanya, kawasan itu terletak dalam lingkungan 50 meter dari zon merah yang merupakan laluan protokal dan lokasi penginapan rasmi delegasi ASEAN.
“Kami mendapat maklumat bahawa terdapat tiga himpunan dijadualkan berlangsung esok namun ditegaskan tiada perhimpunan dibenarkan di kawasan (Ampang Park) esok dari pagi hingga petang.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan atas faktor keselamatan dan imej negara.
“Sekiranya mereka masih berhimpun, ia dianggap bercanggah dengan arahan keselamatan namun kami akan menyuraikan serta ambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurutnya, pihaknya menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan mengenai isu berkaitan namun aspek keselamatan awam serta imej negara perlu diutamakan.
Katanya, ia khususnya ketika Malaysia menjadi tuan rumah kepada persidangan peringkat serantau bermula esok hingga Selasa depan.
Sehubungan itu katanya, pihak polis telah mengadakan perbincangan dengan penganjur dan menawarkan beberapa lokasi alternatif seperti Dataran Merdeka serta Padang Merbok.
“Bagaimanapun, penganjur difahamkan masih berhasrat untuk meneruskan perhimpunan di Ampang Park.
“Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi itu dijangka melibatkan antara 1,000 hingga 1,500 peserta,”katanya.
Tegasnya, polis akan mengerahkan kekuatan penuh termasuk bantuan anggota dari luar Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Persidangan Kemuncak ASEAN yang sedang berlangsung.
“PDRM turut menyeru semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang hadir untuk tidak bertindak agresif dan melakukan sebarang provokasi sepanjang himpunan berlangsung.
“PDRM menghargai kepercayaan orang ramai dan menyeru agar semua pihak memainkan peranan dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan terjaga secara menyeluruh,” katanya.
Difahamkan penganjuran himpunan oleh gabungan NGO bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai solidariti terhadap isu Palestin.- UTUSAN










