PM: Ada kelompok tidak senang transformasi kerajaan

PM: Ada kelompok tidak senang transformasi kerajaan

ANWAR Ibrahim bercakap dalam Forum Ilmu PNB 2025 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wujud ke­lompok tertentu yang tidak se­nang dengan transformasi sedang dilaksanakan kerajaan bagi menjamin kelangsungan, kelestarian dan peningkatan keupayaan negara.

Ia termasuk usaha penyasaran subsidi diesel, RON95, te­lur dan tarif elektrik yang telah menjimatkan sehingga RM15.5 bilion dana awam, termasuk sebelum ini (dua tahun lalu) kerajaan memansuhkan subsidi ayam sebanyak RM1 bilion kerana ia hanya menguntungkan kartel.

Mendedahkan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua langkah itu penting untuk meningkatkan martabat, harakat serta darjat Malaysia di mata dunia.

Beliau berkata, prasyarat pen­ting dalam menjayakan ke­rangka transformasi itu adalah dengan memastikan tadbir urus dan tatakelola yang baik serta memperbaiki kelemahan dan kebobrokkan dalaman.

“Sekiranya negara mahu memacu pertumbuhan dan menetapkan satu kedudukan lebih baik, ia tidak mampu dengan mengekalkan kaedah atau dasar lama. Ada beberapa yang positif boleh diteruskan, tetapi perubahan itu penting.

“Ini tidak mudah dilakukan kerana kekuatan kelompok yang biasa dengan amalan lama yang menguntungkan me­reka, peribadi, keluarga dan kroni, tentu tidak senang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia perlu meneroka idea, hala tuju dan dasar baharu serta mempelajari beberapa pendekatan masa depan daripada negara lain bagi meningkatkan keupayaan.

“Terdapat batas dan had tertentu dalam sistem sedia ada. Perkara ini perlu diambil dengan sangat serius. Apa jua ilmu atau pengalaman yang boleh kita pelajari, perlu dikongsi dengan masyarakat.

“Apabila kita bercakap tentang perubahan, asasnya adalah tadbir urus. Bagaimana kita mahu memahami dan melaksanakan transformasi sekiranya kita masih dibelenggu isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Mengenai pelaksanaan cukai baharu, Anwar menegaskan, kerajaan mahu terlebih dahulu memastikan sistem tadbir urus negara benar-benar bersih daripada sebarang penyelewengan dan ketirisan sebelum mengenakan sebarang bentuk cukai baharu.

Katanya, adalah tidak wajar sekiranya kerajaan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat sekiranya hasil kutipan sedia ada masih tidak diuruskan dengan baik dan berhemah serta berterusan mengalami ketirisan besar.

“Mengapa kita perlu mengenakan cukai sedangkan hasil yang dikutip selama ini belum dibelanjakan dengan baik?

“Mengapa perlu kita beranggapan bahawa hasil yang telah dikutip itu dibelanjakan dengan sempurna dan tiada kebocoran?” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, soal moral dan integriti mesti menjadi asas kepada sebarang dasar ekonomi termasuk percukaian kerana kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat terus menanggung beban tanpa jaminan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.

Ujarnya, tadbir urus berintegriti dan keberanian politik merupakan asas utama kerajaan dalam mendepani cabaran dunia yang kini memasuki era pasca normal.

Katanya lagi, kerajaan perlu berani melaksanakan dasar baharu yang berpaksikan keadilan, kemanusiaan dan ketelusan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha mendidik masyarakat melalui konsep Celik Madani masih perlu dipertingkatkan ketika semua berbicara tentang transformasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rakyat memahami asas kepentingan pelaburan dan simpanan.

“Perbincangan mengenai AI dan digital tidak boleh dipisahkan daripada isu ketersambungan. Persoalannya, adakah akses digital yang menyeluruh dapat dijamin untuk kawasan bandar utama berbanding kawasan luar bandar dan kelompok miskin bandar yang mungkin masih ketinggalan dari segi kemudahan dan capaian internet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN