Pindaan Akta LHDN bukti kejayaan GRS perjuangkan hak Sabah – Armizan

Pindaan Akta LHDN bukti kejayaan GRS perjuangkan hak Sabah – Armizan

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pindaan terhadap Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 yang diluluskan pada tahun lalu adalah bukti komitmen kerajaan GRS bersama Kerajaan Madani dalam memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pindaan itu adalah antara contoh rekod pencapaian GRS yang wajar dikongsi kepada rakyat Sabah.

Armizan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Aziz Jamman baru-baru ini yang mendakwa pindaan berkenaan memberi kuasa mutlak kepada Menteri Kewangan untuk melantik dan memecat wakil Sabah dan Sarawak tanpa rundingan dengan ketua menteri masing-masing.

“Itulah naratif yang dilantun dengan penuh emosi untuk menggambarkan kegagalan saya,” kata Armizan dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau menjelaskan bahawa sebelum pindaan dilakukan, Akta LHDN 1995 langsung tidak memperuntukkan keanggotaan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Katanya, usaha mewujudkan perwakilan dua wilayah itu mula digerakkan sebaik tertubuhnya bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2020 yang diterajui Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, hasil inisiatif kerajaan GRS di Sabah dan GPS di Sarawak.

“Perkara ini dibincangkan dalam Majlis Khas MA63 dengan merujuk kepada laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang menekankan keperluan perwakilan Borneo dalam Malaysian Board of Income Tax,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil konsultasi itu membawa kepada pelantikan Datuk Petrus Gimbad sebagai wakil Sabah dalam LHDN bermula 1 September 2022, melalui syor Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Armizan turut memaklumkan bahawa selepas penubuhan Kerajaan Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya pelantikan wakil Sabah dan Sarawak diinstitusikan melalui pindaan akta, yang kemudiannya diluluskan Parlimen pada Oktober 2023.

“Melalui pindaan itu, pelantikan wakil Sabah dan Sarawak perlu dibuat oleh Menteri Kewangan selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak, sekali gus menjamin suara kedua-dua negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan Aziz bahawa pindaan itu adalah kegagalan dirinya, Armizan menyifatkan kenyataan itu sebagai percubaan politik untuk memutar fakta dan menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan GRS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN