JOHOR BAHRU: Seorang pesara guru berputih mata selepas wang simpanan miliknya bernilai hampir setengah juta lesap selepas terpedaya dengan sindiket ‘scammer’ yang menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa mula dihubungi suspek di kediamannya di Bandar Dato’ Onn, di sini pada pukul 3 petang, 29 Ogos lalu.
“Suspek memperkenalkan diri sebagai Asisten Superintenden Rashid dari Bukit Aman sebelum memaklumkan mangsa terlibat dengan kesalahan pengubahan wang haram dan wang simpanan mangsa perlu disiasat.
“Kerana takut, mangsa mengikut arahan suspek untuk meninggalkan kad ATM beserta nombor pin di sekitar Bandar Dato’ Onn yang didakwa bertujuan untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Raub berkata, mangsa kemudian menceritakan perkara tersebut kepada ahli keluarganya dan membuat semakan terhadap akaun bank miliknya serta mendapati 36 kali transaksi pengeluaran berjumlah RM490,000.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah mendapati kesemua wang simpanannya hilang. Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN










