Perjanjian ART: Tafsiran pembangkang boleh jejas hubungan diplomatik

Perjanjian ART: Tafsiran pembangkang boleh jejas hubungan diplomatik

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari pembangkang diingatkan supaya tidak menjadi ‘lebih Hamas daripada Hamas’ dan ‘lebih China daripada China’ ketika membuat tafsiran hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap ditunjukkan pembangkang itu hanyalah politik menanam kebencian tanpa meneliti terlebih dahulu undang-undang dan peruntukan yang dimeterai antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, tafsiran pembangkang terhadap peruntukan tertentu dalam Perjanjian Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan AS, baru-baru ini, boleh menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara tertentu.

“Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa dilakukan AS sudah diteliti secara satu demi satu oleh China. Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China.

“Kalau rare earth (unsur nadir bumi) dikatakan dimonopoli oleh AS, tidak boleh dengan China, ini tidak berlaku.

“Jadi kita ini lebih Hamas dari Hamas, lebih China dari China. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu sahaja. Saya kata teliti dulu undang-undang, teliti peruntukan dia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH – Pulai) yang memohon penjelasan daripada Perdana Menteri sama ada perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dengan AS mempunyai unsur yang boleh menyebabkan tergadai maruah dan kedaulatan negara.

Menjelaskan hubungan dagang Malaysia dan AS yang kini sudah mencecah RM1 trilion, Perdana Menteri berkata, ia disumbangkan oleh syarikat-syarikat yang bertapak di negara ini bukannya membabitkan kerajaan.

Katanya, antara penyumbang kepada jumlah dagangan itu adalah pesanan 30 pesawat Airbus dan 30 pesawat Boeing yang dibuat oleh Malaysia Airlines (MAS) sebelum tarif timbal balik dikenakan kepada Malaysia.

“Umpamanya, RM1 trilion order (pesan) 30 pesawat Airbus, 30 pesawat Boeing, itu lama sebelum tarif, bukan saya order (pesan), ini MAS. Begitu juga pesanan dari Google dan Microsoft di sini. Mereka pesan part (bahagian) dari Amerika Syarikat. Itu bukan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan import gas asli cecair (LNG) dari Petronas yang mencatatkan kejayaan besar dalam pelaburan di Kanada.

Katanya, pelaburan itu sebelum ini dikutuk kononnya ia dijual sedangkan tohmahan tersebut adalah penipuan kerana antara lain, kehadiran Perdana Menteri Kanada, Mark Carney ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini adalah untuk menyatakan penghargaan kepada negara.

Jelasnya, beliau tidak dapat mendedahkan semua maklumat berhubung pelaburan Petronas itu namun secara dasarnya ia membawa margin keuntungan besar kepada Petronas.

“Kita berniaga dengan semua negara, cumanya dengan AS ini dia cerakinkan Google import berapa, Microsoft (import) berapa dan MAS (import) berapa. Itu yang jadi besarnya (nilai dagangan),” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN