KUALA LUMPUR: Malaysia konsisten mendesak penyelesaian komprehensif termasuk mengiktiraf hak rakyat Palestin dalam empat pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam setiap pertemuannya dengan Trump termasuk ketika menaiki ‘The Beast’, beliau kerap menekankan bahawa krisis Gaza tidak akan selesai hanya dengan gencatan senjata semata-mata.
“Dalam setiap perjumpaan itu, kita tentunya nyatakan penghargaan dalam usaha mereka mencari perdamaian dan menghentikan serangan ke atas Gaza serta larangan (kepada) Israel menakluki mana-mana bahagian di Tebing Barat.
“Tetapi perkara pokok dibincangkan adalah soal Gaza, saya beritahu Presiden Trump, saya pernah bertemu dengan pemimpin Hamas, tentunya dia terkejut sedikit dan tanya kenapa.
“Saya jelaskan dan saya tidak pernah gunakan istilah 20 perkara gencatan senjata, tetapi saya sebut penyelesaian komprehensif. Ini istilah disepakati.
“Tak selesai (isu Gaza) hanya dengan menghentikan serangan tanpa mengiktiraf hak mutlak rakyat Gaza dan Palestin,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Suhaizan Kaiat (PH – Pulai) meminta Perdana Menteri menyatakan selain daripada aspek perdagangan, apakah manfaat yang diperoleh hasil daripada pertemuan dengan Trump termasuk isu kemanusiaan di Gaza dan bidang strategik lain yang berkepentingan bersama Malaysia-AS.
Perdana Menteri berkata, tidak ramai pemimpin dunia yang berani berhadapan dengan Trump dan menyampaikan perkara benar serta tegas seperti yang dilakukan Malaysia.-UTUSAN.










