SHAH ALAM: Pengosongan ladang babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat dijangka selesai sepenuhnya pada Oktober ini apabila masih terdapat ternakan yang belum matang untuk dipindahkan.
Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat pada Februari lalu, babi yang baru lahir akan dipindahkan selepas usianya mencapai umur matang iaitu tujuh atau lapan bulan.
Katanya, pengosongan dibuat secara berperingkat melainkan jika berlaku masalah dilanda penyakit yang memerlukan penyitaan dan pelupusan ternakan dibuat.
“Ketika ini jumlah yang tinggal tidak banyak, yang terakhir pada tiga bulan lepas kira-kira 12,000 ekor masih ada berbanding 240,000 pada waktu puncak (sebelum serangan penyakit dan keputusan penutupan sepenuhnya dibuat).
“Dalam beberapa hari lalu Jabatan Perkhidmatan Veterinar sudah turun untuk buat auditing berapa yang tinggal dan sebagainya. Kita tahu sudah semakin kurang dan sejak Februari dulu kita benarkan anak-anak babi dilupuskan (pindah) apabila cukup umur,” katanya pada sidang akhbar Majlis Perasmian Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Selangor di sini, hari ini.
Ladang babi di sana dilaporkan dijangka ditutup sepenuhnya pada Julai selepas tempoh enam bulan proses penutupan diberikan oleh kerajaan negeri kepada penternak-penternak sehingga Jun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah berkata, tempoh tersebut merupakan kelonggaran diberikan bagi penternak masih mempunyai ternakan babi masih kecil atau baru lahir yang belum boleh dijual dan dipindahkan.
Dalam pada itu, Izham memberitahu kadar kualiti air di sungai-sungai berhampiran yang sebelum ini tercemar teruk semakin pulih selepas arahan penutupan ladang-ladang babi di negeri ini berkuatkuasa.
“Kesan pun kita boleh nampak daripada pencemaran pun air sudah bersih, pantai nampak lebih bersih.
“Selain itu, saya juga mengarahkan status tanah turut disemak supaya kita ada inventori bagiamana hendak pulihkan tanah. Kerana tanah itu (operasi ladang babi) sudah beberapa generasi,” jelasnya.
Tambah Izham, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi membantu penternak yang kehilangan pendapatan supaya kebajikan mereka turut terbela. – UTUSAN










