KUALA PILAH: Pakatan Harapan (PH) tidak perlu masuk campur dalam urusan penentuan calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
perkara itu hanya akan diputuskan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha BN Bahagian Kuala Pilah, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berpandangan, ketika ini bukan masa yang sesuai untuk mengumumkan calon Menteri Besar kerana keutamaan parti itu adalah untuk menjayakan persefahaman dengan PN bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan mengenai individu yang bakal menerajui pentadbiran negeri akan dibincangkan selepas memperoleh mandat rakyat.
“Soal calon Menteri Besar ini kita tunggu keputusan pilihan raya terlebih dahulu. Bukan masanya untuk kita menguar-uarkan perkara itu kerana BN dan PN kini memberi tumpuan kepada persefahaman bagi menghadapi pilihan raya.
“Yang penting sekarang adalah mendapatkan mandat rakyat. Selepas itu, kita akan bermusyawarah dan berunding untuk menentukan siapa yang paling sesuai memegang jawatan Menteri Besar,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasit, Johol, di sini, hari ini.
Saiful Yazan yang juga penyandang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol berkata, BN mempunyai ramai pemimpin berkaliber termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mampu membantu menentukan kepimpinan terbaik untuk negeri itu.
“PH tidak perlu masuk campur dalam urusan kami. Ini strategi BN-PN. Mereka mungkin mengeluarkan nama calon lebih awal kerana tidak mempunyai banyak pilihan.
“Bagi kami, ramai pemimpin yang layak dan keputusan akan dibuat secara musyawarah selepas pilihan raya,” katanya.
Semalam, Pengerusi PH, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata BN-PN tidak mempunyai calon untuk diangkat sebagai menteri besar kerana masih gagal menamakannya sehingga kini. – UTUSAN










