Penjenamaan semula Desa Lestari perkukuh ekonomi luar bandar

Penjenamaan semula Desa Lestari perkukuh ekonomi luar bandar

AHMAD Zahid Hamidi (kiri) bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang (kanan) ketika hadir mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Teluk Bahang, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Kerajaan melaksanakan penjenamaan semula Program Desa Lestari dengan pendekatan baharu yang lebih menyeluruh bagi memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar termasuk menyasarkan peningkatan pendapatan isi rumah peserta kepada RM2,300 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjenamaan itu bukan sekadar menukar imej program yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lalu, malah, membabitkan perubahan kandungan pelaksanaan bagi memastikan keberkesanannya dapat dipertingkatkan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara pembaharuan utama ialah pengurusan program tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada koperasi yang sering berdepan pertukaran pengerusi dan ahli lembaga pengarah sehingga menjejaskan kesinambungan pelaksanaan.

“Kita bukan hanya sekadar akan melakukan penjenamaan terhadap program yang telah berjalan selama 10 tahun, tetapi, kita juga mahu mengubah kandungan pelaksanaannya supaya lebih berkesan.

“Kita mahu mereka yang profesional, terdiri daripada anak kampung yang mempunyai kelayakan dan kepakaran bersesuaian mengendalikan Desa Lestari bagi pihak koperasi dan penduduk setempat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub) kali ke-61 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu Program Desa Lestari menjadi pemangkin peningkatan pendapatan isi rumah selain membantu menghapuskan kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan program ekonomi berimpak tinggi.

Katanya, sebuah pasukan petugas akan diwujudkan untuk melaksanakan intervensi lebih tersusun terhadap koperasi yang terlibat termasuk memperkukuh tadbir urus, penjenamaan, akses pasaran serta jaringan strategik.

Menurutnya, kerajaan juga mahu mengurangkan penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar dengan membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan kepada anak muda, termasuk menarik pelaburan langsung domestik (DDI) serta pelaburan langsung asing (FDI) ke kawasan desa melalui kerjasama KKDW dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Dalam hal ini, kita bukan sahaja mahu mengurangkan migrasi penduduk desa ke bandar, malah, membuka lebih banyak peluang keusahawanan supaya usahawan mikro dapat diperkasakan menjadi usahawan kecil dan sederhana yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak di desa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, selain itu, kerajaan juga akan memperkukuh liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar membabitkan pelbagai kementerian bagi memastikan masyarakat desa mendapat akses internet yang lebih baik untuk tujuan pendidikan, kesihatan serta aktiviti keusahawanan digital.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kadar kemiskinan di kawasan luar bandar terus menunjukkan trend penurunan apabila merekodkan sebanyak 9.9 peratus daripada 12 peratus, berdasarkan data terkini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN