PENDANG: Seorang pengusaha kolam memancing di Titi Haji Idris, di sini mendakwa kerugian RM100,000 apabila 12 kolam ikan keli yang diusahakan dinaiki air ketika banjir melanda daerah ini, sejak Sabtu lepas.
Pemilik premis, Mohd. Nazri Jamaluddin berkata, insiden itu bukan kali pertama namun merupakan yang terburuk apabila air menggenangi kolam tersebut setelah 10,000 tan ikan keli dilepaskan beberapa hari sebelum kejadian.
“Tiap-tiap tahun memang kawasan ini akan dinaiki air tetapi kerugian berlaku kerana saya baru sahaja melepaskan 10,000 tan ikan keli untuk satu pertandingan pada 2 November ini.
“Apabila banjir surut saya perlu melepaskan 10,000 tan lagi ikan untuk menambah bekalan yang sedia ada sebagai persediaan kerana saya tahu ikan yang ada itu tentu sudah berpindah dari satu kolam ke kolam yang lain. Jadi saya perlu bersikap adil kepada peserta,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Nazri, pihaknya kerugian lebih banyak pada tahun lepas apabila ikan keli tersebut termasuk yang diternaknya di kawasan berdekatan terlepas ketika banjir yang sama di daerah ini.
“Untuk mengatasi masalah ini saya membina sangkar dan jaring di sekeliling kolam supaya jika berlaku banjir ikan tidak melompat keluar dari kolam.
“Insiden terbaharu ini juga mengakibatkan saya terpaksa menunda pertandingan memancing itu kepada 15 November depan,” katanya.
Sementara itu, setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 764 mangsa di seluruh Kedah masih berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pendang merekodkan 580 mangsa daripada 162 keluarga.
Antara kawasan terjejas di Pendang ialah Kampung Titi Teras; Kampung Banggol Besi; Kampung Alor Berala; Kampung Banggol Keling; Kampung Alor Ali dan Kampung Lubok Gajah.-UTUSAN.










