SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengadakan sesi pendengaran awam berhubung perkembangan pelan tindakan tangani banjir di Klang, pada 15 Oktober ini.
Sesi tersebut akan memfokuskan tiga perkara iaitu peranan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Klang dalam mengatasi masalah banjir daripada berulang dan strategi jangka panjang yang dirancang.
Selain itu, peranan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang seperti pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan penyediaan bot penyelamat juga menjadi fokus.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San berkata, pada sesi tersebut persoalan yang dibangkitkan akan dijawab oleh lima pegawai daripada JPS Klang, PTD Klang dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Menurutnya, kesemua mereka akan menjadi saksi dalam dihadapan jawatankuasa berkenaan dan sesi tersebut juga akan disiarkan dalam media sosial.
”Satu laporan hasil sesi pendengaran itu serta semua jawapan yang diberikan saksi akan diterbitkan bagi bacaan umum,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambah beliau yang juga Pengerusi Selcat, sesi tersebut dijalankan selepas jawatankuasa berkenaan menilai kekerapa banjir melanda daerah itu pada tahun ini.
“Pendengaran ini diadakan kerana hasrat penduduk Klang yang trauma dengan masalah banjir berulang setiap kali hujan lebat.
“Kebimbangan mendalam ini memerlukan perhatian serius dan tindakan bersepadu daripada semua pihak berkuasa berkaitan,” jelasnya. – UTUSAN