BEIJING: Seorang pelajar di China menang kes mahkamah terhadap sekolahnya selepas mengalami masalah kesihatan mental akibat menonton filem seram semasa sesi pembelajaran kendiri.
Mahkamah memerintahkan syarikat insurans sekolah di Hengzhou, Nanning, wilayah autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, membayar pampasan sebanyak 9,182 yuan (RM5,444) kepada pelajar tersebut.
Ketika kejadian yang berlaku pada Oktober 2023, guru yang sepatutnya mengajar sedang bercuti, menyebabkan kelas dijalankan secara belajar kendiri.
Dalam tempoh itu, beberapa pelajar mencadangkan untuk menonton filem dan selepas mendapat persetujuan guru kelas serta semua rakan sekelas, sebuah filem seram dipilih dan ditayangkan.
Namun pada malam hari yang sama, seorang pelajar yang dikenali sebagai Zihan, mula menunjukkan tanda-tanda gangguan mental seperti percakapan tidak menentu dan keliru semasa bersembang dengan ibunya secara dalam talian.
Bimbang dengan keadaan anaknya, ibu bapa Zihan segera membawa ke hospital.
Hasil pemeriksaan mendapati pelajar itu mengalami gangguan psikotik akut dan sementara, iaitu masalah kesihatan mental yang menyebabkan seseorang hilang hubungan dengan realiti secara tiba-tiba, biasanya akibat tekanan psikologi.
Ibu bapa Zihan percaya keadaan itu berpunca secara langsung daripada pengalaman menonton filem seram di sekolah, dan mendakwa pihak sekolah gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk mengawasi pelajar dengan sewajarnya.
Mereka kemudian memfailkan saman menuntut pampasan sebanyak 30,000 yuan (RM17,787).
Dalam prosiding mahkamah, hakim menegaskan Zihan tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit mental dan tiada ahli keluarganya yang pernah mengalami gangguan seumpama itu.
Pihak sekolah pula berhujah keadaan pelajar itu berpunca daripada faktor fizikal khas atau penyakit tersembunyi, dan menegaskan kejadian tersebut tidak berkaitan dengan kecuaian pihak sekolah.
Sekolah itu juga menyatakan mereka melaksanakan sistem pendidikan kesihatan mental yang menyeluruh dan hanya bersedia untuk menanggung 10 peratus tanggungjawab.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan sekolah bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut dan arahan dikeluarkan agar pampasan dibayar melalui insurans liabiliti sekolah, yang meliputi lebih 5,000 pelajar termasuk Zihan, dengan had perlindungan individu sebanyak 500,000 yuan (RM296,438). -AGENSI









