KUALA LUMPUR: Semakan semula prosedur operasi standard (SOP) merupakan antara reformasi segera terhadap sistem dan mekanisme keselamatan sekolah bagi memastikan semua institusi pendidikan di negara ini benar-benar selamat untuk warga pendidik serta murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah reformasi segera itu juga merangkumi pelaksanaan audit keselamatan menyeluruh di 10,243 sekolah di seluruh negara dan penambahbaikan sistem aduan serta pengurusan kes buli serta gangguan seksual.
Katanya, usaha tersebut merentasi kementerian terutamanya Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pendekatan seluruh masyarakat melibatkan pelbagai pihak.
“Bagi memastikan bahawa isu ini tidak terhenti di sini dan melihat kepada bagaimana Kementerian Pendidikan harus lebih efisien dan tegas dalam soal-soal yang terkait rapat dengan keselamatan ini, maka kita memastikan juga dalam konteks hari ini kita melakukan immediate reform (reformasi segera) ke atas sistem dan mekanisme yang sedia ada,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai tindakan segera bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang termasuk daripada segi keselamatan fizikal di sekolah, pengawasan guru, mekanisme aduan yang efektif, serta sokongan kepada mangsa dari aspek psikososial dan perundangan.
Fadhlina berkata, usaha pembaharuan itu dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang ditubuhkan khusus untuk menilai semula tahap keselamatan fizikal, sosial dan emosi di semua sekolah.
Selain itu, pihaknya memperkukuh sistem aduan buli dengan jaminan perlindungan identiti pengadu dan saksi, serta memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan program sokongan kesihatan mental dan psikososial.
Katanya, pelaksanaan audit dan reformasi ini dikerah kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk dilaksanakan secara praktikal dan efisien dengan pemantauan serta penilaian dibuat setiap 15 hari bagi menilai keberkesanan langkah tersebut.
“Pemantauan dan penilaian pelaksanaan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan pihak sekolah akan dinilai semula setiap 15 hari.
“Menteri dan Timbalan Menteri serta pengurusan tertinggi KPM akan terus bertemu dengan warga pendidik dan murid bagi mendengar dan mendapatkan input berkaitan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN










