KLANG: Laksamana Muda Dr. Najhan Md. Said dilantik sebagai Ketua Pengarah Hidrografi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang baharu menggantikan Laksamana Muda Datuk Hanafiah Hassan.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan sumbangan Hanafiah sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, khususnya dalam memperkukuh bidang hidrografi negara.
Katanya, di bawah kepimpinan Hanafiah, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) mencatat pelbagai kejayaan termasuk penyertaan Malaysia dalam misi pencarian pesawat MH370 di bawah Joint Agency Coordination Centre (JACC) di Canberra, Australia pada 2014.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada isteri Hanafiah, Datin Nor Hayati Abdullah atas sokongan dan penglibatan aktif dalam pelbagai program BAKAT Laut.
“Peranan beliau bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga BAKAT, malah menyemai nilai kebajikan dan kekeluargaan dalam komuniti TLDM secara keseluruhan,” katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulhelmy yakin pelantikan tersebut akan membawa kesinambungan terhadap kecemerlangan PHN.
“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan komitmen yang dimiliki, beliau akan mampu menggalas amanah ini dengan cemerlang serta meneruskan legasi kepimpinan yang dibina,” katanya.
Datuk Hanafiah akan menjalani latihan peralihan bermula 27 Oktober ini hingga 1 Februari 2026 sebelum bersara secara rasmi pada 1 Mei 2026.
Pelantikan tersebut menandakan peralihan kepemimpinan rasmi di PHN selepas Hanafiah menerajui pusat berkenaan sejak 31 Mei 2018. – UTUSAN










