JELEBU: Kerajaan Negeri Sembilan menafikan dakwaan harga getah di negeri ini lebih rendah berbanding negeri-negeri lain sebaliknya menjelaskan kadar komoditi itu adalah selari di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, harga getah dikawal sepenuhnya oleh kementerian dan perlu dipatuhi semua peraih serta pembeli di seluruh negara.
Jalaluddin berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memantau keadaan sektor getah, selain meneliti langkah bagi membantu penoreh dan pengusaha getah di negeri itu meningkatkan hasil serta pendapatan.
“Tidak timbul isu harga getah Negeri Sembilan lebih murah daripada negeri lain kerana ia tertakluk di bawah garis panduan nasional.
“Jadi, itu tidak perlu menjadi kerisauan kepada pengusaha kebun dan penoreh getah kerana kerajaan negeri sentiasa memantau, terutamanya bantuan untuk pengusaha getah bagi menghasilkan getah yang berkualiti sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan golongan penoreh getah di negeri ini kecewa apabila harga getah di pasaran negeri itu didakwa lebih rendah berbanding negeri lain.
Jalaluddin menambah, walaupun berlaku penurunan harga getah namun nilainya masih stabil dan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini.
“Saya yakin apabila ekonomi global kembali pulih, harga getah juga akan meningkat semula seperti biasa, apa yang penting, kebajikan penoreh terus dipantau,” katanya.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, Belanjawan 2026 banyak memberi penekanan terhadap kepentingan petani, penoreh dan penternak sangat disambut baik kerajaan negeri.
“Belanjawan kali ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan sektor pertanian dan komoditi. Penambahbaikan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.-UTUSAN.










