PETALING JAYA: Malaysia menegaskan komitmen terhadap disiplin fiskal serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 hingga 4.8 peratus pada 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar ekonomi negara akan terus berpaksikan kepada prinsip kebertanggungjawaban fiskal dan kesejahteraan rakyat di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Katanya, Malaysia kekal komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mampan dengan pelaksanaan dasar fiskal yang berhemah serta inklusif.
“Malaysia kekal komited terhadap disiplin fiskal serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 hingga 4.8 peratus pada tahun 2025,” katanya memerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, hari ini.
Tambahnya, pertemuan tersebut juga mengukuhkan hubungan erat dan konstruktif antara Malaysia dan IMF yang berteraskan rundingan berkala, bantuan teknikal serta kerjasama dasar yang rapat.
“Perbincangan turut menyentuh isu keseimbangan semula perdagangan global, pengukuhan rangka keselamatan kewangan antarabangsa serta pelaksanaan reformasi fiskal,” katanya. – UTUSAN










