KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menerima pemberian sebidang tanah daripada kerajaan Timor-Leste bagi pembinaan bangunan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanah tersebut terletak di lokasi strategik berhampiran Kementerian Luar Timor Leste berhadapan jalan utama.
“Lokasinya cukup ‘premium’ kerana terletak bersebelahan dengan Kementerian Luar, di hadapan jalan utama dan pantai.
“Saya sendiri berpeluang melihat kawasan itu semasa lawatan ke Timor Leste pada Ogos lalu. Mudah-mudahan kerjasama ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta kerajaan Timor Leste di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Timor-Leste menganugerahkan tanah seluas 0.6 hektar kepada Malaysia sebagai simbolik memperkukuh hubungan diplomatik dan persahabatan antara kedua-dua negara.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, pemberian itu membuka ruang kepada Malaysia untuk membina Kedutaan Malaysia di Dili, selain boleh dimanfaatkan bagi pelbagai urusan rasmi serta kemudahan rakyat Malaysia di negara berkenaan. – UTUSAN










