Malaysia hab penyeludupan haiwan eksotik

Malaysia hab penyeludupan haiwan eksotik

ANIS Rizana Mohd Zainudin (kiri) pada sidang media pembentangan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Lundu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUNDU: Permintaan pasaran dan nilai komersial yang tinggi terhadap spesies eksotik menjadi faktor negara ini terus digunakan sebagai hab penyeludupan hidupan liar.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kategori paling dominan melibatkan burung, mamalia dan reptilia, manakala hasil hutan seperti gaharu mencatatkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM134.02 juta.

“Sindiket kini mengubah modus operandi dengan menggunakan konsainan kecil secara berulang melalui bagasi penumpang, perkhidmatan kurier dan outlet komersial bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar pembentangan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata antara rampasan yang berjaya dilakukan menerusi OBK adalah dua ekor lutung dan dua ekor siamang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Julai lalu, hasil operasi bersama AKPS dan Aviation Security (AVSEC).

Selain itu, Anis berkata cubaan menyeludup keluar gibbon dan cuscus melalui pintu masuk udara turut digagalkan pada hujung September, dengan suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Manakala, katanya pada 7 Ogos lalu, lebih 2,500 ekor kura-kura hidup bernilai RM348,000 berjaya dirampas di KLIA hasil operasi bersama AKPS, AVSEC, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan PERHILITAN.

“Pelaksanaan OBK Pintu Sempadan sejak April lalu berjaya menggugat rangkaian sindiket dan memaksa mereka menukar laluan penyeludupan, sekali gus mengurangkan penggunaan Malaysia sebagai hab utama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Anis berkata hasil analisis OBK Siri 18 mendapati sebanyak 444 kes tangkapan dan rampasan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh April hingga September tahun ini, dengan Selangor dikenal pasti sebagai lokasi ‘hotspot’, diikuti Johor dan KLIA.

“Kesalahan tertinggi direkodkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dengan 158 kes, diikuti Akta Kastam 1967 melibatkan 137 kes penyeludupan dan Akta Perhutanan Negara 1984 sebanyak 41 kes.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM204.43 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN