Malaysia catat kadar kelahiran terendah sejak 1980

Malaysia catat kadar kelahiran terendah sejak 1980

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kadar kelahiran terendah sejak tahun 1980 apabila merekodkan 414,819 kelahiran pada 2024.

Kadar kelahiran itu menunjukkan penurunan sebanyak sembilan peratus berbanding 455,761 kelahiran yang direkodkan pada tahun 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah kelahiran bayi lelaki direkodkan melebihi bayi perempuan, iaitu masing-masing dengan 213,919 dan 200,999.

“Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) turut merekodkan penurunan daripada 13.6 kelahiran pada 2023 kepada 12.2 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk pada 2024.

“Nisbah jantina ketika lahir (SRB) merekodkan penurunan daripada 107.4 lelaki pada 2023 kepada 106.4 lelaki bagi setiap 100 perempuan pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, etnik Melayu menyumbang 65.7 peratus atau 272,718 daripada jumlah kelahiran hidup pada tahun lepas, berbanding 67 peratus (305,494) pada tahun sebelumnya.

“Kelahiran hidup bagi etnik Cina merekodkan peningkatan daripada 9.8 peratus (44,818) kepada 10.8 peratus (44,914), manakala etnik India merekodkan penurunan daripada 4.4 peratus (20,064) kepada 4.3 peratus (17,914) pada 2024.

“Semua negeri merekodkan penurunan CBR pada 2024 berbanding 2023, dengan Terengganu merekodkan CBR tertinggi, iaitu 19.3 kelahiran manakala Pulau Pinang merekodkan CBR terendah dengan 10.1 kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, kadar kesuburan jumlah (TFR) merekodkan penurunan daripada 1.7 anak pada 2023 kepada 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun pada 2024.

“Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan atas paras penggantian, iaitu 2.1 anak bagaimanapun TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula 2013 sehingga kini.

“Paras penggantian 2.1 anak ialah purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang perempuan sepanjang tempoh kesuburan mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, kematian yang direkodkan pada tahun lepas ialah 198,992, meningkat satu peratus berbanding 196,965 kematian pada tahun sebelumnya.

Katanya, kadar kematian kasar (CDR) merekodkan penurunan daripada 5.9 kematian pada 2023 kepada 5.8 kematian pada 202 bagi setiap 1,000 penduduk.

“Bilangan kematian lelaki pada tahun lalu ialah 113,866 kematian atau 57.2 peratus daripada jumlah kematian manakala bilangan kematian perempuan sebanyak 85,126.

“Kumpulan umur 70 hingga 74 tahun merekodkan jumlah kematian tertinggi pada 2024 dengan 24,513 kematian atau 12.3 peratus dan kumpulan umur lima hingga sembilan tahun pula merekodkan bilangan terendah dengan 412 kematian (0.2 peratus) pada 2024,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN