LIPIS: Daerah ini yang terdiri daripada dua cabang sungai utama iaitu Sungai Jelai dan Sungai Lipis disasarkan menjadi Hab Geopelancongan Pahang menjelang 2030.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, potensi dan tarikan istimewa di laluan pertemuan dua sungai di Kampung Tanjung menjadikannya model komuniti geopark pertama di daerah ini.
Beliau berkata, keunikan landskap semula jadi, warisan budaya dan tapak geologi memberi kelebihan besar untuk diterjemah sebagai destinasi geopelancongan bertaraf antarabangsa.
“Pembangunan Tapak Geopark Kampung Tanjung di bawah laluan kereta api bersejarah ini adalah contoh terbaik bagaimana komuniti mampu meneroka potensi alam untuk menjana ekonomi berasaskan pelancongan hijau,” katanya ketika melakukan Lawatan Projek Komuniti Kampung Tanjung Lipis sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Cheka 2025, di sini, semalam.
Menurut Wan Rosdy, kawasan itu mempunyai nilai geologi dan sejarah tinggi selain keindahan sungai mengalir tenang di celah kampung lama yang masih terpulihara.
“Saya yakin, dengan semangat rakyat dan sokongan kerajaan negeri, Lipis mampu muncul sebagai hab geopelancongan Pahang menjelang 2030,” katanya.
Dengan kedudukan strategik di persimpangan dua sungai, Lipis kini menampilkan lebih 15 destinasi pelancongan utama antaranya Taman Negara Tanjung Kiara, Bukit Resam, Gunung Tahan, Taman Tasik Bera, Gua Batu Yon, Air Terjun Berembun, Air Terjun Jeram Besu, Hutan Lipur Terenggun, Muzium Warisan Lipis, Stesen Kereta Api Lipis dan Rumah Rehat British Bukit Residen.-UTUSAN.










