PETALING JAYA: Lima warga Vietnam menggunakan pasport dengan cap meragukan untuk keluar dari negara ini gagal dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam.
Cubaan itu dikesan oleh Pasukan Pemantau AKPS KLIA Terminal 2 kira-kira pukul 10.20 pagi ketika pemeriksaan di Balai Perlepasan.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima warga Vietnam terdiri daripada tiga wanita dewasa dan dua remaja perempuan diperiksa selepas didapati berkelakuan mencurigakan.
“Semakan terhadap dokumen perjalanan mendapati cap keluar dan masuk pada pasport kesemua subjek diragui ketulenannya serta dipercayai diperoleh secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan.
Menurut AKPS, siasatan lanjut melalui sistem Sistem Maklumat Imigresen Malaysia (MyIMMS) mendapati tiada sebarang rekod pergerakan keluar atau masuk yang sepadan dengan cap pada pasport berkenaan.
“Siasatan awal turut mendapati semua individu terbabit tidak pernah meninggalkan Malaysia dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
AKPS memaklumkan pihaknya akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta pemantauan bagi membanteras sebarang cubaan menggunakan dokumen perjalanan palsu atau tidak teratur di pintu masuk utama negara.-UTUSAN










