Kerjasama Xpert Retort, UKM perkasa keselamatan makanan isi rumah - Utusan Malaysia

Kerjasama Xpert Retort, UKM perkasa keselamatan makanan isi rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Xpert Retort menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memperluas pengetahuan masyarakat mengenai pemprosesan makanan menggunakan teknologi retort.

Kerjasama itu bertujuan membudayakan kaedah pemprosesan makanan yang saintifik, selamat dan berkesan, khususnya untuk diamalkan di dapur rumah.

Pengiktirafan kerjasama berkenaan disempurnakan Prof Ts Dr. Wan Aida Wan Mustapha dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi UKM.

Majlis itu turut disaksikan barisan pengurusan Xpert Retort yang diketuai Master Trainer Retort, Mohd Johari Yasin, bersama pakar strategi Mohd Erwan Mokhtar serta pakar strategi pemasaran dan kandungan Syafiq Fitree.

Menurut Xpert Retort, kerjasama dengan UKM itu akan meningkatkan mutu program latihan selain menjadi antara langkah memperluas kempen ‘Revolusi Dapur’ ke seluruh negara.

Ujarnya, kempen berkenaan juga bertujuan membantu keluarga, khususnya suri rumah, menguruskan bekalan makanan secara lebih terancang dan sistematik.

“Apabila ilmu teknologi makanan dikuasai, ia dapat membina asas keselamatan makanan yang lebih kukuh di peringkat isi rumah, di samping memastikan keluarga terus mendapat akses kepada makanan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.

Peserta yang menamatkan program latihan Xpert Retort akan menerima sijil pengiktirafan kolaborasi bersama UKM.

Mereka juga boleh menggunakan kemahiran itu untuk kegunaan keluarga atau sebagai asas memulakan perniagaan makanan dari rumah.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN