IPOH: Seorang bekas pemain bola sepak Perak mendakwa tanah lot tapak kediaman yang dianugerahkan kepadanya atas kejayaan memenangi Piala Malaysia pada tahun 2018 didapati telah diceroboh.
Pemain itu yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terkejut apabila mendapati tanah anugerah kerajaan negeri kepadanya yang terletak di Hulu Kinta dekat sini didapati sudah menjadi kebun sayur.
“Bukan sahaja tanah saya malah lot tapak kediaman untuk pemain lain juga sudah bertukar menjadi kebun sayur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemain itu beraksi di posisi pertahanan pasukan Perak dan pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.
Pemberian tanah lot kediaman itu adalah sebagai penghargaan kepada pemain berikutan kejayaan Perak muncul juara Piala Malaysia tahun 2018 menumpaskan Terengganu.
Katanya, sebagai menghargai kejayaan tersebut, pemain bukan sahaja menerima anugerah tanah lot kediaman tetapi penempatan itu juga sepatutnya dikenali sebagai ‘RPT Piala Malaysia’.
“Saya sudah mengemukakan aduan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) pada 2024 mengenai perkara ini.
“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera oleh pihak berwajib, ” katanya.
Perak muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2018 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Shah Alam.
Kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan 120 minit.
Berikutan kejayaan itu, pemain dan pegawai skuad Perak menerima anugerah lot tanah kediaman daripada kerajaan negeri. – UTUSAN










