JERANTUT: Penduduk di beberapa kawasan perumahan sekitar bandar ini bimbang dengan peningkatan jumlah anjing liar yang berkeliaran tanpa kawalan hingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan dan kebersihan persekitaran.
Antara kawasan terjejas ialah Taman Inderapura, Taman Saujana Utama, Taman Saujana Perdana serta kawasan industri Jerantut, Bandar Inderapura dan Bandar Baru Jerantut dengan lebih 50 ekor anjing liar dilihat berkeliaran hampir setiap hari.
Lebih merisaukan beberapa ekor anjing dilaporkan berada di hadapan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, malah ada yang memasuki kawasan masjid, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan jemaah di situ.
Seorang penduduk, Rosmani Sulaiman, 61, berkata, keadaan itu semakin membimbangkan selepas berlaku insiden anjing mengejar kanak-kanak di Taman Saujana Utama, baru-baru ini.
“Kami sangat risau keselamatan anak-anak serta orang dewasa di sini. Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertindak segera sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
“Diharapkan pihak berwajib segera melaksanakan operasi tangkapan anjing liar bagi memastikan keselamatan serta kebersihan kawasan perumahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Mohd. Kamaruddin Napiah, 58, dari Taman Inderapura berkata, selain menakutkan penduduk, anjing liar mengganggu kebersihan dengan menyelongkar tong sampah.
“Ada yang menumbangkan tong sampah dan mengoyakkan plastik hingga menyebabkan sisa bertaburan di jalan. Ia menarik haiwan lain seperti tikus dan biawak pula datang ke kawasan rumah.
“Masalah ini tak boleh dibiarkan berlarutan. Kami mahu tindakan tegas dan berterusan, bukan sekadar operasi sementara,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Majlis Daerah Jerantut memaklumkan, pihaknya sudah memasang beberapa perangkap di lokasi tumpuan anjing liar.










