Lawatan 30 delegasi industri automotif perkukuh kerjasama pasaran antarabangsa Proton

Lawatan 30 delegasi industri automotif perkukuh kerjasama pasaran antarabangsa Proton

Delegasi industri automotif
PANTAI Bharu Autohaus menerima lawatan 30 delegasi UNI Commerce Global Car Dealers Network dari Jepun, Perancis, Itali, Pakistan dan Indonesia, di Rawang, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lawatan seramai 30 delegasi industri automotif dari Jepun, Perancis, Itali, Pakistan dan Indonesia memperkukuh kerjasama strategik sektor itu di peringkat antarabangsa selain meninjau pembangunan pasaran Proton di rantau ini.

Lawatan rasmi daripada delegasi UNI Commerce Global Car Dealers Network ke Pantai Bharu Autohaus itu merupakan sebahagian daripada program anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja Proton Edar Sdn. Bhd. dengan kerjasama UNI-MLC (Malaysian Liaison Council).

Pengurus Besar Pantai Bharu Autohaus, Azhar Abdul Hamid berkata, lawatan itu menjadi pelantar penting bagi memperkenalkan kemajuan industri automotif tempatan di samping mengukuhkan hubungan antara UNI Commerce, UNI-MLC, Union Proton Edar dan Pantai Bharu Autohaus sebagai pengedar rasmi Proton.

“Kami berbesar hati menerima kehadiran delegasi antarabangsa ini yang membuktikan keyakinan terhadap jenama Proton. Ia juga membuka peluang bagi kerjasama lebih erat di peringkat global,” katanya.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal turut mengetuai rombongan tersebut yang bertujuan mengukuhkan kolaborasi antara kesatuan pekerja dan pemain industri global di bawah naungan UNI Commerce Global Union.

Delegasi berpeluang meninjau kemudahan di bilik pameran dan diperkenalkan kepada barisan model Proton termasuk model elektrik terbaharu, Proton e.MAS.

Lawatan berkenaan turut mendapat sokongan Pengarah Urusan Pantai Bharu Autohaus, Rabitah Datuk Shamsudin dan Pengarah Eksekutif, Siti Laila Shamsudin.

Kunjungan itu secara tidak langsung memperlihatkan komitmen bersama dalam memperluas potensi pasaran automotif nasional ke peringkat antarabangsa, seiring aspirasi Malaysia menjadi hab automotif serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN