TANGKAK: Seorang bapa tidak menyangka lambaian ketika terserempak anak lelaki di luar pekarangan Kolej Komuniti Ledang di sini menjadi petanda anak bongsunya pergi menghadap Ilahi buat selamanya, semalam.
Muhammad Darwish Kamarul Hafiz, 19, meninggal dunia di Hospital Tangkak ketika mendapatkan rawatan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32.5, Jalan Muar-Segamat di sini, malam semalam.
Dalam nahas pada pukul 10.55 malam, turut maut ialah rakannya, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain, 20, serta pasangan kekasih, Sky Chang Ji Shiang, 20, dan teman wanitanya, Pang Chong Chong, 18.
Bapa Muhammad Darwish, Kamarul Hafiz Jaafar, 51, berkata, dia terserempak dengan anaknya ketika pulang mengambil ubat di sebuah klinik kesihatan kira-kira 11 pagi.
“Semalam saya terserempak arwah di luar kolej tempat dia belajar, dia lambai-lambai, saya kata dalam hati kenapa budak ini.
“Dia naik motosikal masa itu, dia potong kereta saya lepas itu dia lambai-lambai lagi, tak sangka itu lambaian tanda dia hendak pergi buat selamanya,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di kediamannya di Bandar Baru Tangkak, di sini, semalam.
Muhammad Darwish, anak bongsu daripada tiga beradik merupakan pelajar semester kedua Sijil Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara di Kolej Komuniti Ledang, di sini.
Kamarul Hafiz berkata, dia mendapat berita duka itu selepas majikan tempat anaknya bekerja menghubunginya dan memaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan.
“Kali terakhir saya jumpa dia waktu maghrib, ketika dia balik rehat dari kedai gunting tempat dia bekerja. Dia kerja sambilan sebagai tukang unting, masa itu dia cakap hendak keluar makan dengan kawan di bandar Tangkak.
“Semasa kejadian, Muhammad Darwish dan kawannya Alauddin dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja, jarak kemalangan dengan rumah dekat sahaja, dalam 300 meter.
“Apa pun saya reda dengan ketentuan Ilahi ambil anak saya, semoga dia tenang di sana,” katanya.
Kamarul Hafiz berkata, jenazah Muhammad Darwish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, di sini manakala rakan baiknya yang turut maut, Muhammad Alauddin Shah Zulkarnain dikebumikan di Parit Bakar, Muar.
Sementara itu, pasangan kekasih, Ji Shiang dan Chong Chong pula dijangka disemadikan pada hari Isnin ini. – UTUSAN










