KUALA LUMPUR: Ibu negara Malaysia dijangka sibuk apabila beberapa acara besar dijadualkan berlangsung secara serentak hari ini.
Antara acara tumpuan termasuk konsert Jackson Wang di Axiata Arena, persembahan kumpulan wanita Korea Selatan, Twice di Stadium Hoki Nasional serta festival keagamaan Sembilan Maharaja Dewa di Ampang.
Pada masa sama, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut menjadi tarikan utama apabila pemimpin-pemimpin dari negara anggota ASEAN berhimpun bagi membincangkan isu-isu serantau termasuk menangani cabaran global secara menyeluruh dan inklusif.
Ribuan pengunjung tempatan dan luar negara dijangka membanjiri ibu negara meskipun beberapa laluan ditutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung selama tiga hari bermula esok.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar pusat bandar mendapati rata-rata orang ramai memilih menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) bagi mengelak kesesakan jalan raya.
Mahasiswa, Siti Farhanim Mohd. Faiz, 25, berkongsi keterujaannya apabila berpeluang hadir memeriahkan suasana di KLCC meskipun perjalanan ke ibu kota agak merumitkan susulan beberapa penutupan jalan.
Katanya, kehadiran pemimpin-pemimpin dunia ke negara ini memberi peluang kepada rakyat untuk menyaksikan kemeriahan serta suasana diplomasi antarabangsa yang jarang berlaku.
“Saya teruja sebab bukan selalu dapat lihat suasana macam ini. Walaupun perjalanan agak sesak, saya tetap mahu datang ke KLCC untuk merasai sendiri kemeriahan acara besar seperti Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya.
Sementara itu, jurujual yang ingin dikenali sebagai Allisya berkata, orang ramai tetap memenuhi pusat beli-belah Suria KLCC meskipun beberapa jalan utama di sekitar kawasan itu ditutup dan sesak dengan kenderaan.
Menurutnya, suasana hujung minggu kali ini jauh lebih meriah berbanding biasa berikutan kehadiran pelancong asing dan pengunjung tempatan yang mengambil peluang beriadah di kawasan sekitar menara berkembar itu.
“Dari pagi lagi orang dah ramai. Ada yang datang sebab nak tengok suasana Sidang Kemuncak ASEAN, ada juga yang datang semata-mata untuk membeli-belah atau makan bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN










