Kontraktor gagal siapkan projek KPM ditamatkan kontrak

Kontraktor gagal siapkan projek KPM ditamatkan kontrak

FADHLINA Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mengambil tindakan tegas termasuk menamatkan kontrak terhadap mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek pembangunan mengikut jadual ditetapkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pengeluaran notis tujuan penamatan kontrak merupakan antara langkah terakhir yang diambil terhadap mana-mana perunding atau kontraktor yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka sebagaimana termaktub dalam perjanjian.

“Antara punca kelewatan dan kegagalan pelaksanaan projek termasuk kelemahan pengurusan kontraktor dalam aspek pelaksanaan dan kewangan, masalah logistik serta kelewatan kelulusan penyambungan dan pemasangan utiliti.

“Selain itu, faktor luar jangka seperti cuaca tidak menentu, bencana alam, pandemik serta kenaikan harga bahan binaan turut menjadi penyumbang,” katanya ketika penggulunggan perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 di Dewan Rakyat semalam.

Fadhlina berkata, pihaknya komited memperkukuh sistem pemantauan dan pengawasan bagi memastikan setiap projek pembangunan pendidikan dapat disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, setakat ini, terdapat 19 projek di bawah KPM yang sedang dilaksanakan di pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan pelbagai jenis kemudahan pendidikan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, tiga projek siap lebih awal daripada jadual, lapan projek berjalan mengikut jadual, tiga projek lewat jadual manakala lima lagi sedang melalui proses tender semula,” katanya.

Fadhlina berkata, secara umum projek dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ apabila kemajuan fizikalnya lewat melebihi dua bulan atau 20 peratus daripada jadual asal dan kontraktor gagal menunjukkan keupayaan untuk memperbaiki prestasi kerja.

Bagi menangani isu ini, kata­nya, KPM telah memperkukuh pemantauan di tapak projek serta mengadakan sesi libat urus secara berkala bersama semua pihak berkaitan termasuk penyedia utiliti, syarikat air, pembekal tenaga elektrik dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu, kementerian turut menggunakan platform seperti Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi menyelesaikan isu yang memerlukan campur ta­ngan kerajaan negeri.

“Mesyuarat panel penyela­rasan kontrak dan Jawatankuasa Tindakan Kementerian juga dijadikan saluran utama untuk membentangkan status semasa serta mencari penyelesaian terhadap projek yang bermasalah,” katanya.

Sebelum ini, LKAN mendedahkan projek pembangunan pendidikan yang tertangguh di seluruh negara dengan sebanyak 46 projek pembangunan bawah KPM berstatus lewat (sakit).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN